Tuesday, March 24, 2009

you'll never walk alone (takde kena mengena dengan liverpool ye)

Salam

Kenapa kaki diciptakan sepasang? Tak payah nak pikir lama-lama, komfem dah jawapannya supaya senang nak berdiri dalam bas RapidKL yang penuh, nak berjalan sambil menyepak tin, nak berlari kerana dikejar anjing gila hatta untuk kawal clutch dan minyak (bagi yang bawak kereta manual la). Cuba kalau kaki tu tak diciptakan sepasang, pasti susah bukan nak buat benda-benda tadi dan juga banyak lagilah.

Dah cukuplah tu aku mengarut saja nak bikin intro ni, sebenarnya aku cuma nak bercerita pasal betapa tak bestnya kalau dok sorang-sorang.

Betul atau tidak, tak ramai yang larat nak hidup sorang-sorang kat dunia ni. Semua orang perlukan penyokong untuk terus menjalani kehidupan ni (apa ingat team bolasepak je ke perlukan supporters). Habis tu yang Lone Ranger tu pe cerita? Mungkin dia susah nak percaya kat orang lain ataupun terpalit dengan kisah duka yang menyebabkan dia susah nak jumpa partner yang macam dulu ataupun saje kerek dia tu konon tak perlukan kawan, senang gerak sorang-sorang.

Merujuk kepada salah satu iklan Celcom Blue, yang mana watak utamanya main kereta langgar (bump car bak kata omputeh) sorang-sorang. Apa gila mamat ni kan. Nampak bukan betapa perlunya seseorang itu akan orang lain di sampingnya. Bukan hanya untuk mendapatkan bonus prabayar atau pascabayar sahaja.

Memang tak dinafikan, kalau bergerak sorang-sorang ni payah. Macam satu cerita teladan kanak-kanak pasal seorang bapa yang menggunakan lidi untuk mengajar erti “bersatu teguh bercerai roboh” kepada tiga orang anaknya yang kuat bergaduh sesama sendiri. Lagu Butterfingers ‘Tentang-tentang’ pun ada mesej yang sama pasal bergrup ni.

“bila kawan ramai keliling kita
cakap besar tunjuk belang
tapi bila sorang-sorang
pengecut, pemalu
macam semua orang”

Ketepikan tang cakap besar tunjuk belang tu dulu. Betul, kalau kita sorang-sorang je masuk kat satu tempat yang sorang pun kita tak kenal, kita akan dok diam je (malu konon). Tapi takde la dok diam sesaja, mesti kena kenal orang sebelah jugak paling-paling pun (ada juga yang cepat sesuaikan diri). Okeh, cuba kalau kita masuk tempat tu dengan geng kita, hahaha, tak habis-habis kita berborak, bergelak ketawa apa semua.

Hidup yang tidak berseorangan ni merangkumi banyak aspek dalam kehidupan kita. Baik dari segi keluarga, kawan-kawan, jiran tetangga dan masyarakat. Semuanya akan saling bergantungan antara satu sama lain.

Siapa yang nak tolong di kala susah selain keluarga sendiri. Siapa nak tolong tengok-tengokkan rumah bila kita balik kampung kalau bukan jiran tetangga. Siapa yang larat nak membujang sampai ke tua tanpa kehadiran seseorang di sisinya yang boleh menjaga makan minum, pakai apa semua (chewah). Dengan siapa kita nak bersembang, bergurau senda, meluahkan perasaan, berteman untuk pergi ke toilet tengah malam (kalau kat asrama la) dan berkongsi apa saja tak kiralah baik atau buruk benda tu hahaha (gelak jahat) kalau bukan dengan orang sekeliling kita.

Tonton saja cerita I Am Legend lakonan mantap Will Smith. Tak best oo kena tinggal sorang-sorang walaupun dia boleh rempuh masuk je dalam kedai ambil apa sahaja yang dia nak tanpa perlu membayarnya.

Nah, memang jelas sekali kepentingan berkeluarga, berkawan, berjiran, berkumpulan, berpersatuan, berpasukan, berbisnes partner (ha, untung rugi ditanggung bersama), berkapel dan macam-macam ‘ber’ lagilah ni. Tapi kadang-kadang tu jadi pula kes macam kawan makan kawan (ye la kot tak tahan untung dikongsi bersama kan) atau “kawan ketawa senang dicari, kawan menangis susah dicari”.

Sendiri pikir la beb. Yang penting saling menghormati antara satu sama lain. Susah nak cari kawan yang betul-betul kamceng seperti susahnya seorang pemimpin tu nak cari anak buah yang patuh taat setia kat dia juga seperti susahnya nak mencari calon suami atau isteri yang betul-betul memahami dan melengkapi, ibarat kata Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah.

Soal keluarga pula, perkara lain. Buruk baik macam mana pun seorang ahli keluarga tu dia tetap mempunyai pertalian darah dengan kita. Ada beran raya sorang-sorang, layan pula lagu Dendang Perantau tak pun Musafir di Aidilfitri, tangkap leleh oo sayu je kang.

Tapi ada juga kes yang adik beradik tak hiraukan langsung ikatan tu. Aku jumpa sendiri kes ni, dia cakap kat aku camtu la lebih kurang. Dia tipu tak tipu semata-mata nak raih simpati aku, Wallahualam. Tapi kena pegang kuat-kuat bidalan “air dicincang takkan putus” sama “carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga”.

Tapi macam Lone Ranger tadi, kadang-kadang tu kita perlukan juga masa untuk berindividualistik. Kita perlukan masa-masa bersendirian untuk bermuhasabah diri dan bersedih atas beberapa sebab, alah macam yang selalu dihidangkan dalam drama mahupun filem tapi bukanlah macam Kevin McCallister dalam cerita Home Alone tu. Sakit la kau nak bergasak sorang-sorang,dia lain la, dia hero cerita tu.

Contoh paling senang ialah mati. Masuk kubur sorang-sorang, kena tanya dengan Mungkar dan Nangkir sorang-sorang. Betullah kata orang kubur masing-masing, tapi yang nak uruskan jenazah tu tetap orang lain gak (eheh). Tu lah lagi satu gunanya hidup bermasyarakat ni.

Well, solat pun kalau berjemaah pahalanya 27 kali ganda daripada solat sorang-sorang. Belum kira tolong menolong di kala kenduri kendara mahupun gotong royong mengecat balai raya juga bersama-sama menyembelih lembu di hari raya korban. Ya, “jiran sepakat membawa berkat”.

Sebenarnya tak perlulah aku taip panjang-panjang pasal isu ni. Semua orang tau betapa pentingnya hidup bermasyarakat ni. Tapi disebabkan aku tengah lepak sorang-sorang kat rumah ni, bosan la plak. Tu yang tak best tu, lalu aku berkawanlah kejap dengan PC ni ha meluahkan kebosanan aku. Senang dia tak melawan, hahaha.

adios amigos asparagos

Wassalam

apa sibuk nak tau

Salam

Aku ada satu rahsia nak kasi tau korang. Lama dah disimpan, tunggu masa je nak diluahkan. Ia melibatkan satu benda yang menarik, dan best lah senang cerita. Tapi rilek dulu, bawak bersabar, pelan-pelan sikit, perlu diwujudkan sikit suasana suspen baru best bila dah tau. Kasi can la aku nak merepek sikit. Ah korang tak bagi pun aku pedulik hape, aku nak merepek gak. Rasa nak scroll ke bawah, sukati korang la.

Rahsia ni bolehlah dikatakan sebagai satu misteri yang disimpan sama ada perseorangan atau berkumpulan dalam satu jangka masa yang pendek atau panjang kalau nak kasi lagi berdebar-debar. Kalau sorang-sorang je maknanya korang simpan rahsia tu sendiri tak nak kasi tau orang lain dan jika rahsia itu melibatkan dua orang atau lebih, maka rahsia itu akan berlegar di sekeliling grup mereka sahaja, orang lain tak perlu nak ambil tau. Sibuk je jaga tepi kain orang.
Sumbernya pula, seperti tadi boleh jadi orang tu sendiri yang bikin rahsia tu kemudian dia simpan sendiri, macam sesiapa yang pernah pecahkan pasu bunga mak kecik-kecik dulu tapi diamkan je sampai sekarang. Boleh jadi juga dia dah pecahkan pasu bunga tadi, tapi adik dia ternampak pula. Jadi untuk membolehkan benda itu kekal rahsia, berpakatlah dia dengan adik dia supaya adik dia tak repot kat mak (kira macam partner in crime la ni). Maka jadilah ia rahsia berkumpulan.

Tapi tak semestinya kena ada buat atau terbuat benda yang salah baru boleh bikin rahsia. Ia juga boleh melibatkan hal-hal seperti seseorang tu syok kat sorang awek tapi dipendamkan je, atau satu benda tu sengaja disimpan supaya tak mendatangkan musibah dan huru-hara, atau saja simpan rahsia tu untuk bikin surprise orang tersayang (chewah) besday party ke apa ke. Juga rahsia ni mungkin melibatkan sesuatu yang malulah nak bagi tau orang lain juga benda-benda yang boleh digunakan untuk prek orang lain (hahaha, gile jahat).

Rahsia ni bolehlah disifatkan sebagai satu amanah. Seperti seorang peguam yang berpendirian yang wasiat tak boleh ditunjukkan sesuka hati kepada sesiapa saja. Sebab tu lah kepentingan menjaga rahsia ni diselitkan dalam satu pepatah Melayu lama “biar pecah di perut jangan pecah di mulut”. Tetapi bukan semua orang larat nak menahan beban tu. Maka timbullah lagi satu pepatah “ditelan mati emak, diluah mati bapa”.

Tetapi jika satu rahsia itu rasanya tidak akan mengeruhkan suasana atau boleh menjernihkan keadaan, mungkin tak salah untuk diberitahu. Janji orang boleh terima. Bukanlah macam si “mulut-mulut tempayan” yang memang gatal je mulut tu nak bagi tau orang. Kang tak pasal-pasal je. Boleh buat gaduh kang, masam-masam muka, tak nak betegur sapa. Ambik, siapa yang susah sekarang.

Well, yang pastinya setiap orang memang ada menyimpan rahsia. Toksah tipu la komfem ada punya. Tak kiralah dia simpan sorang-sorang atau dalam klik dia sendiri. Takkan ada orang yang boleh menceritakan segala-galanya kat orang lain. Pasti adanya beberapa benda yang dikira sebagai peribadi, kerana kalau ramai tau kang pastinya dah tak best. Sana sini orang dok cakap pasal tu je. Tapi, walau seburuk mana rahsia yang disimpan tu ingat Allah Maha Mengetahui, so lu pikir la sendiri.

Sedar tak sedar dah 8 perenggan aku karang. Sampai terlupa aku pasal rahsia tadi. Nak tau ke, malas plak aku nak kasi tau. Ah lantaklah aku nak terus simpan je. Biar terus jadi rahsia aku. Kepam lama sikit, sampai bila-bila la senang. Tak surprise la kalau bagitau sekarang. Padan muka korang, nak sangat tau. Hahaha.

adios amigos asparagos

Wassalam

satu hari di kedai makan

Salam

Baru-baru ni aku berkesempatan pergi ke Lumut, tapi bukanlah melancong, pantai pun tak sampai apatah lagi naik feri ke Pangkor dan beli souvenier sotong kering. Tengok makcik aku masuk hospital kat sana je. Alhamdulillah baik jugalah kondisinya. Setelah menghabiskan dalam 30 minit kat situ, beredarlah kami mencari tempat menjamu selera pula. Almaklumlah jam dah pukul 3 petang, tengahari tak soru lagi. Berghazal rock dah perut ni ha.

Sampai je dekat restoran, pergh!!! Macam-macam lauk ada, dengan ikan macam-macam masak terhidang. Naik rambang biji mata aku tengok. Dan disebabkan usus yang bergegar dek kerana bau lauk yang bermacam-macam tu, ambik ko, penuh pinggan aku. Nasi je 3 senduk penuh, lauk 4 jenis aku letak (baik aku asingkan lauk kat piring lain je). Hahaha, memang tak ingat apa. Bila kira je harga, mangai, boleh bayar untuk 2 orang makan tak pun 2 kali makan. Kopak seh.

Tapi tu lah. Kalau sekali dah rambang mata tu memang sekaligus rasa tamak akan menguasai jiwa. Itu nak ini nak, tanpa memikirkan apa akibat perbuatan kita. Janji kita puas hati (ye ke?). Tamak ni sebenarnya digambarkan sebagai salah satu daripada sifat buruk dalam diri manusia. Membawa definisi “apa yang ada jarang disyukuri apa yang tiada sering dirisaukan”, petikan nasyid yang selalu aku dengar masa zaman bawah umur dulu. Apa tak percaya ke aku layan nasyid.

Pastinya tamak ini selalu dikaitkan dengan benda-benda negatif yang akan berlaku. Macam aku tadi disebabkan ketamakan aku mengambil lauk, kenalah keluarkan banyak duit untuk membayar. Juga disebabkan tamak, seorang penyerang tak dapat menjaringkan gol akibat dibentes pihak lawan walaupun sebenarnya dia boleh passing bola tu ke rakan sepasukan yang tidak dikawal sekaligus tak dapat membantu pasukannya kutip 3 mata penuh malam tu.

Bermodalkan tamak juga beberapa cerita rakyat turut memberi moral berguna supaya kita menghindari sifat tamak ni. Dari kisah Pa' Kaduk yang tergadai kampungnya dek ayam laga Raja yang di"sistem barter"kan, Lebai Malang yang pulang ke rumah dengan lapar dek kerana terlepas 3 kenduri, lebih malang lempengnya dilarikan anjing, juga Sang Anjing (tapi bukanlah anjing yang larikan lempeng Lebai Malang tadi) yang terlepas tulang yang digonggongnya (ada yang mengatakan daging entahlah aku pun tak tau) dek kerana bayang-bayangnya sendiri yang dia tak kenal apada.

Dalam satu sudut yang lain, cuba tengok ayat ni “berkat sifat tamaknya, Abu telah berjaya mendalami ilmu perniagaan secara menyeluruh”. Bughok bebenor bunyinya walaupun sebenarnya membawa maksud yang dia bersungguh-sungguh belajar lebih dari orang lain macam aku yang tak kisah langsung. Dia cuma ambil peluang yang terhidang je dengan berkehendakkan dirinya maju. Tapi oleh kerana mentaliti kita yang mengatakan tamak itu sebagai satu simbol negatif, maka ayat itu sebenarnya berbunyi “berkat kesungguhannya, Abu telah berjaya mendalami ilmu perniagaan secara menyeluruh”. Jadi bukanlah bermaksud tamak itu cuma negatif sahaja tetapi penggunaannya yang lebih diberatkan kepada yang buruk berbanding yang baik.

Biasanya tamak itu akan berakhir dengan kerugian, sekaligus menunjukkan betapa ia membawa kepada pembaziran. Kalau tak kenapa ada bidalan “orang tamak selalu rugi” Lihat saja contoh ada di mana-mana. Tapi payah nak diambil iktibar pasal kita ni cepat lupa. Macam aku pun, walaupun dah belanja besar untuk makan hari tu, esok-esok buat lagi. Selalu sangat dah.
Kalau diikutkan memang payah nak elakkan diri dari bersifat tamak ni membawak le ke tamak haloba. Ye lah, acapkali kita akan merasakan yang kita mahu memperolehi lebih dari orang lain, selain kekuatan teori ekonomi tentang kehendak manusia yang tidak terbatas. Tapi selagi kita boleh meletakkan batas-batas kepada kehendak kita, mungkin kita takkan jadi macam Pa' Kaduk, Lebai Malang dan Sang Anjing tadi. Jangan sampai “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran” sudah.

Apapun janganlah sesuatu nikmat tu kita dapat rasa bila ia dah terlepas dari gengaman kita. Bersyukurlah dengan apa yang ada.

Berbalik kepada betapa tamaknya aku mengambil lauk itu hari, naik sebu perut aku hari tu, bawak ke besok oo dia punya kenyang. Nak tunduk pun payah. Kena buang sikap ni, baik yang tamak juga yang banyak makan. Tak baik untuk kesihatan kerana aku baru tau yang banyak penyakit tu berpunca dari perut. Ingat!!!. Pesanan khidmat masyarakat dari aku.

adios amigos asparagos

Wassalam

pergh gila b**i ah!!!

Salam

Aku ni baru balik dari percutian bersama keluarga selama 5 hari jauh ke utara tanah air. Pergh memang seronok yang teramat sangat, yelah pergi bercuti-cuti Malaysia kan, boleh gak tenangkan fikiran yang berserabut ni (eleh keje takde nak berpikiran serabut konon podah). Apapun macam-macam aku dapat tengok sepanjang percutian kali ni. Betullah kata pepatah "jauh berjalan luas pemandangan".

Nun jauh di sebuah pantai yang agak terkenal dengan aktiviti nelayannya di sebuah pulau yang dinamakan sempena nama sebatang pokok, aku dan keluarga aku terserempak dengan seorang Mat Saleh yang sedang ber"tai-chi" (agaknya) atau bersenam (agaknya juga) atau tah lah aku pun tak tau tapi nampak macam dia sedang asyik menikmati deruan angin deras yang datang dari arah Selat Melaka. Gayanya saling tak tumpah macam Tom Hanks dalam cerita Cast Away.

Nak dijadikan cerita, tiba-tiba sorang budak dipercayai dengan sepasti-pastinya penduduk kampung terbabit datang dekat kitorang dengan menunggang basikal berkata, "jangan dilayan bang, gile", sambil melakukan hand gestures dengan jari telunjuknya dipusingkan dua tiga kali di tepi kepalanya untuk membawa maksud yang Mat Saleh terbabit biol, sewel, kurang akal, hilang satu skru dan segala yang sama waktunya dengan gila.

Kesian Mat Saleh tu, tak pasal-pasal orang tuduh dia gila. Walhal mungkin dia cuma mahu menikmati angin petang hari itu yang agak nyaman. Mungkin cara dia menikmati angin tersebut bukan macam orang lain. Dia perlu membuat beberapa rutin gerak badan yang membolehkan seluruh badannya merasai angin terbabit. Bukan macam kita yang bila orang melepaskan angin kita menjerit marah, ait!!! (hahaha lain ke?).

Tapi rilek Mat Saleh. Lu tak salah. Kalau lu gila pun lu tak salah. In fact, semua orang gila. Percaya atau tidak, kita hidup di kalangan masyarakat yang gila. Mungkin Mat Saleh tadi gila orangnya. Tapi mungkin gilanya cuma untuk menikmati angin laut. Benda lain dia waras balik, mana tau dia seorang CEO ke kan. Ha, ambik, terkesima korang.

Berbalik kepada isu semua orang gila tadi. Well, mari hayati sikit lirik Hukum Karma dendangan Wings "Ohh.. dalam dunia, Ohh.. kita raja, Ohh.. jangan lupa, Ohh.. jangan gila, Gila darjat, Gila nama, Gila kuasa, Gila harta, Semua gila"..., yang menjadi lagu tema drama bersiri Gila yang pernah dimainkan kat saluran Emas RTM2 satu ketika dulu.

Selain dari beberapa gila yang ada kat atas, banyak lagi gila yang meresap dalam diri kita. Ada gila bayang, gila talak, gila judi, gila kerja, gila shopping, gila bola, gila makan, gila muzik, gila kereta, gila motor, gila race, gila meroyan, gila-gila remaja, majalah gila-gila dan macam-macam lagi la gilanya.

Tak cukup dengan tu setiap yang kita atau orang lain buat yang nampak agak outstanding tu mesti akan disambut dengan kata-kata "gile ah brader tu", "gile kuat dia ni", "mangai, gile cun awek tu", "gile babi ah", dan macam-macam juga yang mesti diselitkan dengan perkataan gila tadi.

Hahaha, kesian kat kita. Rupa-rupanya, kita ni pun orang gila juga. Cun pun gila, hensem pun gila, pandai pun gila, kuat pun gila, baik pun gila, jahat pun gila. Patutlah kadang-kadang tu ternampak orang gila gelakkan kita, rupanya dia pun nampak kita ni gila (saja aku ambil sedutan dari drama bersiri Gila tadi).

Tapi nilah dunia sebenarnya. Mungkin secara amnya kita ni cukup sifat siumannya, tapi pada sesetengah perkara kita bertindak di luar batas akal kita sendiri sehinggakan setiap tindakan kita menjadi kurang waras. Lu pikir la sendiri.

Kesimpulannya, Mat Saleh tadi gila, penghuni-penghuni Hospital Bahagia gila, aku gila, korang gila, semua orang gila. Tapi pada makna yang berbeza-beza. So, jangan pandang hina kalau jumpa orang gila, pasal kita pun gila. Hahaha. Aku respek sebenarnya diorang ni pasal diorang melihat dunia dari sudut yang berbeza walaupun kadang-kadang tu cuak gak kalau diorang datang minta apa-apa.

Walau apapun kita semua tetap manusia, hamba pada Yang Maha Esa. Segila mana pun kita dengan urusan dunia, urusan akhirat usah lupa.

adios amigos asparagos

Wassalam

tunggu punya tunggu punya tunggu bulan tak timbul timbul

Salam

Pernah tak korang lepak sampai sejam 2 dalam kereta dek kerana kesesakan lalu lintas yang teruk atau lepak kat bus stop sejam 2 pasal bas yang korang nak naik tak sampai-sampai atau senang cerita terperangkap dalam situasi menunggu atau menanti la ni (naik serabut plak aku dengan soalan aku sendiri)

Memang tension oo kena menunggu lama-lama ni. Hatta kalau menunggu kawan yang tengah cari parking kat shopping complex di hari minggu pun boleh buat kita tension walaupun kawan tu dah sampai ke situ seperti yang dijanjikan semalam. Cuma belum berkesempatan ketemu di meeting point yang dipersetujui je.

Sampai kadang-kadang tu dalam diri kita macam-macam dah di"carut"kan sambil ada jugalah fikir beberapa kemungkinan yang menyebabkan dia lambat seperti dia bergaduh dengan orang kereta belakang kot, dia singgah jamban kot, tapi apasal dia tak call. "Sakit hati betul aku", mulalah dialog ni korang ulang-ulang. Dah berjanggut nunggu ni ha.

Yup, memang kalau dah agak lama terperangkap dalam situasi penungguan itu, secara automatiknya kita akan didatangi perasaan amarah yang meluap-luap, kadang-kadang tu tak payah lama mana sangat, 5 minit cukup. Ditambah pula keadaan sekeliling yang membantu mempercepatkan penyebaran rasa marah tadi macam yang aku alami masa dok nunggu bas dulu yang agak lambat sampai, layan lagu sikit dan lagu Menunggumu dari Chrisye feat. Peter Pan terpasang, pergh memang sentap la rasa marah tu. Tak tau apa pasal. Mungkin lirik dia cukup berkesan untuk menyeksa aku masa tu kot.

Betullah kata orang "penantian satu penyeksaan". Walaupun rasa aku istilah ni dicipta bagi mereka yang bercinta di luar sana, tapi itulah indahnya bahasa ni, boleh diguna pakai untuk menggambarkan banyak perkara. Rasa membuak-buak marah tu bila loan PTPTN lambat masuk (eheh, teringat zaman universiti dulu), tekanan daripada wayang dah nak start tapi kawan tak sampai lagi, rasa lapar yang teramat sangat tapi takut kalau pergi soru kang kawan sampai pula. Serta banyak lagi contoh yang menyokong kuat penggunaan istilah tadi.

Tapi sebenarnya mungkin kawan tu atau benda yang kita tunggu tu mengalami sedikit kesulitan untuk tiba seperti yang dijanjikan. Mungkin dia lambat pasal jalan jammed, ataupun parking penuh kena pusing 2 3 kali, almaklumlah hari minggu tu. Dan mungkin Allah nak bagi adil sama rata pasal itu hari kita buat kawan kita tertunggu-tunggu kita, ini hari kita pula yang tertunggu-tunggu dia. Merasalah sikit sorang supaya boleh dikurangkan habit yang membuatkan orang sakit hati ni.

Mungkin kelewatan tu berpunca dari kita sendiri. Salah kita la apasal bangun lambat (alasan paling mudah boleh difikirkan). So, kena ubahlah (termasuklah aku, banyak kali jadi lagu ni, sori kengkawan).

Ataupun kita boleh fikirkan alternatif lain yang bisa mengelakkan terperangkap dalam jammed, cari jalan alternatif yang ada, seperti yang diuar-uarkan penyampai info trafik. Mungkin agak jauh, tapi selagi kereta tu bergerak, mungkin tension tu akan berkurangan dibantu radio yang memutarkan lagu kegemaran kita sambil bau wangian AmbiPur menyamankan keadaan dalam kereta. Aku pernah buat camni, tak tau la berkesan kat korang ke tak. Sedikit cadangan.

Apapun bukanlah menunggu ni satu benda yang patut kita marahkan. Pasal tulah ada istilah "sabar itu separuh daripada iman". Nak uji keimanan kita la ni. Pasti ada sesuatu yang menarik seperti keindahan matahari terbenam yang diaturkan Allah untuk pandangan kita. Tapi jangan lupa Maghrib.

Selain tu bagi yang bercinta, boleh menunjukkan betapa setianya korang menunggu girlfriend atau boyfriend korang walau diorang pergi toilet kejap pun. Hahaha.

adios amigos asparagos

Wassalam

satu petang yang blues [bicara tentang cinta (part I)]

Salam

Selalunya cerita-cerita cinta tak kiralah yang dibikin anak tempatan, anak seberang, anak Asia Timur, anak Bollywood mahupun anak Hollywood senang cerita seantaro dunialah pasti akan mendapat ulasan yang best-best daripada penonton-penonton filem itu. Mereka akan memberikan 2 thumbs up selain memberikan 5 bintang kepada cerita-cerita yang bergenre cinta ataupun romantik ini.

Best ke bercinta? Kenapa orang perlu bercinta? Persoalan tentang cinta seperti sesuatu yang tak berkesudahan. Teringat aku time sesi induksi part 1 kat sebuah kampus universiti yang mempunyai banyak cawangannya di seluruh Malaysia ni, tempat aku mencari sesuatu yang dipanggil diploma. Bila si senior bertanya apa yang paling best atau pengalaman manis yang pernah dialami, jawapan keluar dating dengan awek atau segala yang berkaitan dengan cinta adalah yang paling popular.

Ini membuktikan betapa jatuh cinta ialah feeling yang paling sensasi yang pernah dialami jauh mengatasi rasa lega selepas membuang air besar. Seperti yang diterjemahkan Tembakau yang cintanya pada Kartini adalah sesuatu yang membolehkan dia memperoleh segala kebaikan yang terdapat di sekelilingnya (carik komik Kartini ngan Kartini Kembali, baca sendiri), baik dari segi persahabatan, pelajaran, kehidupan dan sebagainya, itulah agaknya faedah rasa mencintai dan dicintai ni.

Sepertimana Laila dan Majnun, Romeo dan Juliet hatta Yon dan Kartini sekalipun, semua orang memiliki cerita cinta yang tersendiri. Masing-masing punya definisi sendiri tentang cinta. Ada yang selesa dengan cinta itu buta atau cinta pandang pertama atau cinta monyet atau cinta bagai nak gila atau cinta itu untuk diluahkan atau biarlah cinta itu dipendam sahaja atau cinta tak semestinya bersatu atau cinta terhalang atau cinta tak kesampaian atau apa sajalah yang difikirkan sesuai untuk mengklasifikasikan cinta masing-masing.

Tetapi cinta itu sebenarnya universal. Ia bukan sahaja berkisar tentang hubungan diantara dua manusia sahaja tetapi cinta itu boleh juga diletakkan pada agama, bangsa dan negara atau cintakan keamanan atau cintai sungai kita atau apa saja. Almaklumlah cinta itu sifatnya lahir daripada hati yang menggambarkan betapa tingginya penilaian si pencinta itu kepada yang dicintainya. Apapun cinta abadi hanyalah pada Yang Maha Esa juga Junjungan Mulia.

Sebagaimana mata diciptakan sepasang, seperti itu jugalah yang telah tertulis di Loh Mahfuz yang setiap manusia ada pasangannya. Well, yang pastinya setiap orang perlukan cinta. Cuma kita tak tau bila kita akan merasainya kerana ia lahir secara semulajadi bukan dipaksa.

Dan orang sanggup buat apa saja untuk mendapatkan cinta. Sanggup membodohkan diri (kasar bunyinya tapi harap faham la) hinggalah ke menyakiti diri atau orang lain. Tapi bila dapat je cinta tu, bak bait lagu Tan Sri P.Ramlee la, "terasa dunia ini, hai ana yang punya". Tapi bila tak dapat je frust dia mengalahkan pasukan bola sepak yang kalah dalam penentuan sepakan penalti kat pentas final.

Sebetulnya bab cinta, bab jiwa, bab hati, bab perasaan ni bukanlah aku reti sangat. Tapi dalam cuaca yang agak blues ni best gak layan qalbu ni kan terasa jiwang jap.

Cinta itu seperti kentut, nak ditahan perit, nak dilepas malu. Hahaha

adios amigos asparagos

Wassalam

salam blogspot

Salam

Sebenarnya aku malas nak bikin catatan dalam blogspot ni pasal aku dah punya blog aku sendiri kat friendster. tapi disebabkan saja gatal tangan nak cuba sesuatu yang baru aku gagahkan jua diri ini untuk melakukan sesuatu dalam blogspot ni.

Mungkin blog aku di sini akan tiada bezanya dengan blog aku di friendster. Senang cerita bulat-bulatlah aku ambil apa yng dah aku coretkan kat blog aku lagi satu tu ke sini. Itulah fitrah manusia sentiasa ingin melakukan kerja yang lebih senang.

Yup memang malas oo nak pikir lama-lama, berat-berat, dalam-dalam buat letih badan. Samalah juga dengan kopi yang sekarang ni dah ada yang 2 in 1, 3 in 1. Malas dah orang sekarang ni nak ambil sesudu serbuk kopi dan 2 sudu gula untuk membancuh kopi (tak boleh nak salahkan kemudahan ni, dunia sekarang semakin pantas).

Dalam hidup ni semua benda tak boleh tidak mesti akan dicuba sedaya upaya untuk diambil mudah. Samalah juga macam aku kat sekolah dulu yang lebih suka meniru kerja sekolah orang lain daripada buat sendiri.

Tapi tak semua orang macam tu. Ada juga yang lebih suka berpegang kepada "usaha tangga kejayaan". Diorang ni memang mengamalkan "bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".

Tapi memang nikmat sebenarnya kalau kita berusaha mencapai sesuatu tu dengan jerit perih tanpa mengambil mudah. Manisnya pencapaian tu pergh setelah pahit yang dilalui.

Bukanlah bermaksud yang kita tak boleh mengambil mudah akan sesuatu perkara. Macam yang aku cakap tadi dunia sekarang ni semakin pantas, jadi kita kena guna segala jenis kemudahan yang akan memudahkan lagi perjalanan hidup kita supaya kita taklah terdemut-demut buat kerja tu.

Apapun tak baik kalau kita aplikasikan mengambil mudah ni untuk kita mengambil kesempatan atas orang lain. Kesian diorang yang penat-penat usaha, kita pula yang bersenang lenang.

Ah, kemain lagi aku merepek. Takde kena mengena langsung dengan tajuk post ni sebenarnya. Hahaha. Chiow.

adios amigos asparagos

Wassalam